AM

PERMINTAAN ENAM JENIS TEH CINA TAN TEE KHIM MENINGKAT DUA KALI GANDA

13/02/2026 11:52 AM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

TUMPAT, 13 Feb (Bernama) -- Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Tan Tee Khim tidak menang tangan apabila enam jenis teh Cina yang diusahakan mendapat permintaan ramai sehingga meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

Pengusaha Do Re Me Tea House berusia 53 tahun itu berkata antara minuman tradisi yang menjadi pilihan ialah teh hitam, teh oolong, teh merah, teh kuning, teh putih serta teh hijau, kerana setiap minuman ini memiliki ciri tersendiri dari segi aroma dan rasa.

Tan yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya, Lau Ooi Teck, 54, sejak 10 tahun lepas berkata bekalan teh yang diusahakan itu diperoleh daripada beberapa pembekal teh di Pulau Pinang serta Kuala Lumpur.

"Pada awalnya saya hanya menjadikan minuman tradisi ini sebagai hobi dan rutin harian, namun minat yang mendalam terhadap minuman teh Cina akhirnya mendorong saya mengusahakan pelbagai teh sehingga menjadi sumber pendapatan sampingan buat saya sekeluarga.

"Permintaan terhadap ramuan minuman tradisi ini mula meningkat sejak akhir bulan lepas sehingga laris hampir 100 kilogram, berikutan pelanggan mula membuat persiapan untuk menyambut Tahun Baharu Cina tidak lama lagi," katanya ketika ditemui Bernama dekat Taman Sri Mulong, Wakaf Bharu di sini, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Tan berkata teh bukan sekadar minuman tetapi ia memiliki khasiat tersendiri, kaedah bancuhan yang berlainan serta menggunakan teko teh berbeza termasuk teko seramik, teko porselin atau teko tanah liat, iaitu tanah liat ungu yang mampu mempengaruhi rasa dan warna teh itu sebaik siap dibancuh.

"Cara membancuh teh juga ada teknik tersendiri, kebiasaannya ia direndam kira-kira 15 saat bagi bancuhan pertama, rendaman kedua pula kira-kira 25 saat dan seterusnya. Jika dibancuh dengan betul, ia bukan sahaja mengeluarkan aroma terbaik malah mampu memberikan ketenangan kepada minda.

"Saya belajar cara penyediaan teh ini daripada rakan-rakan yang pernah mengusahakan minuman tradisi ini, jadi dengan pemahaman tentang jenis dan kaedah penyediaannya, setiap teh yang dihasilkan mampu memberikan pengalaman unik dan bermanfaat," katanya.

Harga setiap jenis teh yang dijual bermula RM20 bagi 100 gram, manakala teh hitam yang berkualiti tinggi boleh mencecah hingga RM20,000 sekilogram bergantung kepada usia dan kaedah penyimpanan.

"Teh perlu disimpan dalam keadaan tidak terlalu lembap atau terlalu kering. Cuaca di Malaysia sebenarnya sesuai untuk penyimpanan, namun setiap stok perlu dilabel tahun simpanan kerana semakin lama disimpan, nilainya boleh meningkat," katanya.

Mengenai tradisi masyarakat Cina, wanita itu berkata teh Cina kebiasaannya dihidang oleh ahli keluarga yang lebih muda kepada yang lebih tua pada majlis atau perayaan tertentu sebagai tanda hormat, kasih sayang serta penghormatan terhadap orang yang lebih berusia.

Tan berkata seakan menjadi kewajipan sesetengah masyarakat Cina untuk menghidangkan teh Cina khususnya teh yang lebih wangi seperti teh oolong selepas melakukan upacara sembahyang di pagi raya, selain turut menghidangkan teh berkenaan kepada tuhan mereka.

"Selain menjadi ritual pada hari raya, hidangan teh ini juga mempunyai nilai simbolik dalam adat perkahwinan apabila pasangan pengantin menghidangkannya kepada orang tua sebagai tanda hormat menerima menantu.

"Hampir setiap keluarga kaum Cina akan mempunyai set teko teh di rumah kerana ia sebahagian daripada tradisi mereka. Teh ini bukan sekadar minuman ketika perayaan bahkan ia tradisi yang terus dihargai dan dipraktikkan sehingga kini," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan