KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah mahu keselamatan kanak-kanak dan remaja di alam maya diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa dan masyarakat kerana ia boleh menjadi ruang amat toksik, dan memberikan kesan buruk jangka panjang jika dibiarkan menular.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan tentang isu kesihatan mental, yang semakin menular menunjukkan kesan-kesan negatif terutama terhadap kanak-kanak dan remaja.
“Saya amat terkesan dengan kematian seorang pelajar perempuan tahun lepas yang ditikam di sekolah dan bimbang akan kesan persekitaran keselamatan di alam maya, yang mengandungi pelbagai ancaman terhadap kesihatan mental masyarakat, terutamanya golongan muda.
“Justeru, perhatian serta tindakan serius perlu diambil oleh pihak berkuasa dan masyarakat bagi melindungi generasi muda daripada ancaman keselamatan di ruang atas talian,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office, yang dimuat naik dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap rombongan Kelab Oxford Alumni Malaysia di Istana Negara semalam, yang turut membincangkan serta mengupas isu-isu keselamatan alam maya.
Baru-baru ini, Raja Permaisuri Agong telah melancarkan program Ilham Seni Diraja, sebuah projek perintis membabitkan 200 pelajar sekolah di Kuala Lumpur bagi memberikan pelajar B40 saluran aktiviti yang membina melalui bidang seni sebagai usaha memupuk kesihatan mental yang baik dan mencegah daripada terjerumus ke dalam gejala sosial.
-- BERNAMA
