KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Di sebalik kebimbangan mengenai ruang siber yang semakin mencabar, inisiatif Program Ilham Seni Diraja disifatkan sebagai talian hayat kepada golongan remaja khususnya dalam kalangan B40 bagi melindungi mereka daripada ancaman dunia digital dan gejala sosial.
Seorang peserta Aleesya Umairah Mohamed Jamil, 13, berkata selain dapat mengasah bakat seni, program itu turut memperluas pergaulan secara sihat dan menjadi benteng kepada pengaruh negatif alam maya.
"Saya dapat belajar dan merasai pelbagai pengalaman menarik antaranya mengenali ramai kawan dari sekolah lain. Dengan menyertai koir dan latihan intensif yang dijalankan di Istana Negara setiap dua minggu sekali, saya juga dapat meningkatkan tahap keyakinan diri,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Perkara itu diakui ibunya, Sanisa Ahmad, 49, yang kagum melihat peningkatan prestasi dan keyakinan diri anaknya dalam bidang seni serta bersyukur memandangkan program itu memberikan alternatif kepada aktiviti yang lebih berfaedah berbanding pendedahan melampau terhadap media sosial.
Ibu kepada seorang lagi peserta, Irdayati Makmur, 51, berkata rutin harian anaknya Aqeef Fahim Zulkifly, 14, berubah daripada banyak menghabiskan masa dengan telefon bimbit kepada belajar seni, berlakon dan membuat persembahan di hadapan orang ramai.
Turut berkongsi pandangan, Muhammad Nur Asrul Muhammad Farouq, 14, yang berkata program itu memberi peluang kepadanya mengembangkan bakat dan potensi diri terutama dalam bidang seni koir dengan menjalani latihan vokal.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ibrahim Yaacob, di sini itu berkata perkara tersebut merupakan pengalaman berharga apabila diberi kesempatan membuat persembahan di Istana Negara di hadapan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sekali gus dianggap sebagai peluang keemasan.
Sementara itu, bapanya Muhammad Farouq Abdullah, 52, berkata Raja Permaisuri Agong turut bertanya sendiri mengenai minat seni kanak-kanak yang terlibat termasuk kecenderungan terhadap nyanyian dan menitahkan pegawai agar berhubung dengan sekolah serta pihak berkaitan bagi membantu mengembangkan bakat mereka.
“Alhamdulillah, ini peluang terbaik untuk anak kami. Saya harap program ini akan diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai pelajar berpeluang mengetengahkan bakat dan minat serta membentuk sahsiah generasi muda,” katanya.
Program Ilham Seni Diraja merupakan program perintis yang dilancarkan Seri Paduka Baginda pada 30 Jan lepas melibatkan 200 pelajar di sekitar ibu kota dan diharap menjadi wadah menyemai perpaduan, membina personaliti positif generasi muda serta membuka laluan masa depan yang lebih baik bagi anak-anak B40 yang terpinggir.
Terdahulu, Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada peserta program dan keluarga mereka semasa lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wahyu dan PPR Beringin, di sini hari ini, di samping turut mengurniakan sumbangan kepada warga emas, orang kurang upaya serta asnaf di bawah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Azani Omar.
-- BERNAMA
