PUTRAJAYA, Feb 14 (Bernama) -- Analisis statistik kemalangan jalan raya menunjukkan faktor manusia masih kekal sebagai penyumbang utama kepada kes kemalangan maut di Malaysia, menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Dalam kenyataan hari ini, MIROS memaklumkan antara punca utama yang dikenal pasti ialah kegagalan pemandu melihat atau menyedari kehadiran kenderaan dan objek di hadapan atau di sebelah mereka, cuai ketika keluar atau masuk simpang serta jalan susur.
“Ia termasuk memotong atau menukar lorong secara berbahaya, leka, berangan, letih atau mengantuk. Corak ini menunjukkan bahawa kebanyakan kemalangan sebenarnya boleh dicegah melalui perubahan tingkah laku dan disiplin pemanduan yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.
Menurut MIROS, statistik kemalangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan secara purata 13 penunggang motosikal maut setiap hari di Malaysia dan corak kemalangan merentas tahun juga menunjukkan mereka terus menjadi kumpulan paling terdedah kepada risiko maut di jalan raya.
“Lebih membimbangkan empat daripada 10 penunggang motosikal melebihi had laju, 26 peratus hingga 50 peratus melanggar lampu isyarat merah dan 54 peratus tidak berhenti langsung sebelum melintasi persimpangan,” menurut kenyataan itu.
Justeru, MIROS menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjadikan keselamatan sebagai keutamaan utama ketika memandu atau menunggang motosikal, terutamanya sempena cuti musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan ketara jumlah kenderaan di jalan raya dan menyebabkan kesesakan di lebuh raya serta jalan utama negara.
MIROS turut menggesa agar pengguna mematuhi had laju dan lampu isyarat, merancang perjalanan dengan rehat mencukupi, menggunakan peralatan keselamatan seperti topi keledar dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.
-- BERNAMA
