JENAYAH & MAHKAMAH

KES KANAK-KANAK DIBERI MINUM CECAIR BERBAHAYA BUKAN PERBUATAN SENGAJA - POLIS

14/02/2026 06:06 PM

KAJANG, 14 Feb (Bernama) -- Siasatan awal polis berhubung kes kematian seorang kanak-kanak, manakala dua lagi dimasukkan ke hospital selepas dipercayai terdedah kepada ubat methadone, mendapati perbuatan itu bukan disengajakan.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan kini menjurus kepada pengabaian yang dipercayai berpunca daripada perbuatan cuai.

“Pada peringkat ini, siasatan memperlihatkan tidak ada unsur dengan sengaja atau niat, tetapi lebih kepada akibat kecuaian, namun siasatan masih diteruskan,” katanya pada sidang media selepas program Walkabout Langkah Selamat Ketua Polis Selangor: Santuni Komuniti Kajang di MRT Stadium Kajang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shazeli berkata siasatan mendapati ubat berkenaan ialah milik bapa kepada kanak-kanak terbabit yang diperoleh daripada saluran sepatutnya sebagai rawatan untuk kegunaannya sendiri.

“Ubat itu memang untuk kegunaan bapa dan kemungkinan kecuaian berlaku, mungkin disebabkan mahu bertindak cepat atau faktor lain sehingga ubat itu berada dalam pegangan kanak-kanak,” katanya.

Mengulas keadaan dua kanak-kanak yang kini berada di hospital, Shazeli berkata kedua-duanya menunjukkan perkembangan pemulihan positif, namun masih di bawah pemantauan dan rawatan rapi oleh pihak perubatan.

“Alhamdulillah, keadaan mereka semakin pulih, namun pihak doktor masih belum dapat memastikan tarikh pelepasan,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka mengurus kebajikan keluarga, khususnya berkaitan urusan anak yang meninggal dunia.

Rabu lepas, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun maut, manakala dua lagi adiknya berusia sembilan dan lima tahun menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Permaisuri Norashikin setelah dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone di sebuah rumah di Sungai Ramal, Kajang.

Kejadian itu dipercayai terbongkar selepas ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Susulan kejadian itu, ibu bapa kepada tiga kanak-kanak terbabit berusia 35 dan 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, Shazeli memaklumkan sebanyak 3,100 anggota digerakkan bagi menjalankan operasi pencegahan jenayah secara menyeluruh bersempena dengan musim perayaan Tahun Baharu Cina.

"Kita akan mempertingkatkan kehadiran polis di kawasan perumahan bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk sentiasa terpelihara.

"Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat jenayah, aduan atau maklumat balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), mengisi borang di balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah berdekatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan