POLITIK

PAKATAN HARAPAN SABAH BINCANG PENSTRUKTURAN KEPIMPINAN NEGERI ESOK

14/02/2026 06:24 PM

KOTA KINABALU, 14 Feb (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mengadakan mesyuarat esok bagi menentukan hala tuju politik gabungan itu termasuk penstrukturan semula kepimpinan negeri.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR  Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata mesyuarat tersebut juga akan membincangkan serta merangka hala tuju baharu bagi menghadapi cabaran politik semasa.

“Kita akan mengadakan mesyuarat esok petang dan menstrukturkan semula PH dan juga the way forward (tindakan terbaik) untuk PH,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu selepas merasmikan Seminar Kenegeraan Malaysia MADANI: Wancana Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, di sini, hari ini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata keputusan dalam mesyuarat berkenaan akan dibuat berdasarkan persetujuan semua pihak sebelum diumumkan kepada media.

“Kita akan berbincang dan kena capai konsensus (persetujuan bersama) siapa yang akan mengetuai PH Sabah pada sesi kali ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan