TUARAN, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah yakin kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pembayaran tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober tahun lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara itu telah diputuskan menerusi proses perundangan dan ia termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata setakat ini jumlah bayaran yang akan diterima masih belum dimuktamadkan namun perbincangan di peringkat jawatankuasa sedang giat dijalankan.
“Di peringkat jawatankuasa, telah diadakan mesyuarat dan perbincangan masih berjalan. Mesyuarat terbaharu juga telah diadakan baru-baru ini bagi memperincikan perkara berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kebun Dapur Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah di Padang Istiadat, Tuaran di sini hari ini.
Hajiji yakin hasil perbincangan berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan menghasilkan keputusan positif termasuk pelaksanaan pembayaran dalam masa terdekat.
Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
-- BERNAMA
