SUKAN

ARUWIN GAGAL TAMAT ACARA DI OLIMPIK MUSIM SEJUK MILANO CORTINA

15/02/2026 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Atlet luncur alpine negara Aruwin Salehhuddin  menghadapi cabaran getir apabila gagal menamatkan kedua-dua larian dalam acara giant slalom wanita di Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina, Itali, hari ini.

.Acara yang berlangsung di Pusat Ski Alpine Tofane menyaksikan atlet tuan rumah Federica Brignone  menonjol dengan menduduki tempat pertama pada larian pertama dan ke-14 pada larian kedua untuk merangkul pingat emas dengan catatan masa keseluruhan 2 minit 13.50 saat (s), menurut laman rasmi Sukan Olimpik Musim Sejuk https://www.olympics.com.

Pingat perak pula menjadi milik bersama Sara Hector dari Sweden dan wakil Norway, Thea Stjernesund selepas masing-masing mencatatkan masa 2:14.12s.

Pada penampilan sulung di Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, Aruwin menamatkan saingan di tempat ke-38 acara giant slalom wanita, namun gagal menamatkan perlumbaan slalom.

Atlet berusia 21 tahun itu, yang menjadi atlet wanita Malaysia pertama menyertai Olimpik Musim Sejuk dan satu-satunya wakil negara di Milano Cortina, dijangka beraksi dalam acara slalom pada  Rabu ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan