BUKIT MERTAJAM, 15 Feb (Bernama) -- Polis mengeluarkan 179 saman dan menyita 38 motosikal dalam Op Motosikal Bersepadu (Samseng Jalanan) di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), di sini awal hari ini.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan sebanyak 80 motosikal telah diperiksa dalam operasi berkenaan yang bertujuan membanteras kegiatan samseng jalanan.
“Operasi itu juga adalah tindakan penguatkuasaan menyeluruh bagi mengurangkan kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal.
"Kawasan susur keluar Kubang Semang hingga ke Plaza Tol Kubang Semang telah dijadikan lokasi remaja untuk berlumba motosikal dan kegiatan itu berlaku pada cuti hujung minggu menyebabkan kegusaran kepada pengguna lebuh raya," menurut hantaran itu.
Antara kesalahan dikesan ialah menunggang secara melawan arus, melakukan aksi 'wheelie' motosikal serta membuat bunyi bising melalui ekzos kenderaan yang telah diubah suai yang boleh membahayakan diri mereka dan pengguna jalan raya.
Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPT bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Pulau Pinang, Peronda Lebuh Raya (EMPV) Bukit Aman, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD SPT serta dibantu Polis Bantuan PLUS.
-- BERNAMA
