KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Johor Motorsports Racing (JMR) mencatat prestasi memberangsangkan dalam penampilan pertama bersama Chevrolet Corvette apabila meraih naib juara bagi kategori Pro-Am pada perlumbaan tahan lasak Bathurst 12 Jam di New South Wales, Australia.
Bersaing menggunakan Chevrolet Corvette Z06 GT3.R, kru No. 99 menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 keseluruhan selepas menamatkan 261 pusingan di Litar Mount Panorama dalam perlumbaan pembukaan musim Intercontinental GT Challenge itu.
Barisan Pro-Am yang terdiri daripada Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim bersama Ben Green dan Jordan Love, berjaya mencatat peningkatan dari kedudukan pertengahan grid ke tempat kedua Pro-Am pada peringkat awal perlumbaan dan kekal bebas daripada sebarang insiden untuk menempatkan diri di podium.
“Ini adalah Bathurst 12 Jam keempat dan podium keempat saya. Hari ini penuh dengan pelbagai cabaran, tetapi pasukan melakukan tugas yang luar biasa untuk kedua-dua kereta. Kami berharap dapat menempatkan dua kereta di podium, namun malangnya kereta rakan sepasukan mengalami masalah mekanikal dan terpaksa menarik diri.
“Mengambil kira ini adalah penampilan sulung, kami boleh berpuas hati dan diharapkan akan kembali tahun depan. Saya juga amat bangga dengan adinda saya yang berjaya menempatkan diri di podium pada Bathurst 12 Jam pertamanya. Tahniah kepada semua pemandu yang terlibat dan semua yang lain.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan menyokong kami di Bathurst serta di tempat lain. Saya benar‑benar terharu dengan kepercayaan dan sokongan semua serta berharap kami dapat memberikan keputusan yang lebih baik apabila kembali pada masa akan datang,” kata Tunku Abdul Rahman dalam kenyataan JMR hari ini.
Sementara itu, Tunku Abu Bakar berkata beliau berbangga menjadi sebahagian daripada penampilan sulung Corvette di Bathurst.
"Saya sangat gembira dapat menamatkan perlumbaan di podium. Hari ini memang mencabar, tetapi pasukan dan semua pemandu telah melakukan tugas yang hebat untuk menamatkan di tempat kedua,” katanya.
Dua pengalaman yang berbeza bagi JMR hari ini apabila terpaksa menarik diri pada lewat aksi kategori Pro sebagai Corvette No.2 yang dipandu Earl Bamber, Alexander Sims dan Nicky Catsburg akibat masalah mekanikal ketika berpeluang meraih kedudukan terbaik.
JMR seterusnya akan bersaing dalam pusingan kedua Intercontinental GT Challenge di Nürburgring, Jerman dari 14 hingga 17 Mei.
-- BERNAMA
