KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengatur gerak seramai 2,364 pegawai dan anggota di seluruh negara menerusi Ops Prihatin sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri tahun ini.
APM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, operasi berkenaan melibatkan kekuatan daripada 14 Pejabat Negeri, 197 Pejabat Daerah serta Unit Pertahanan Awam yang akan melaksanakan rondaan di jalan utama Persekutuan dan negeri, selain kawasan tumpuan orang ramai.
Ops Prihatin 2026 dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu fasa pertama bermula 13 hingga 22 Feb, manakala fasa kedua pada 19 hingga 29 Mac sempena sambutan Aidilfitri.
“Objektif operasi ini adalah untuk membantu pengguna jalan raya, mangsa bencana serta kes kecemasan sepanjang musim perayaan. Selain rondaan, petugas turut bertindak sebagai first responder sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
“Ops Prihatin juga bertujuan meningkatkan semangat membantu rakyat dalam khidmat kemanusiaan, termasuk menangani kes pokok tumbang, pembaikan kecil kerosakan kenderaan serta memberi khidmat nasihat berkaitan ilmu pertahanan awam kepada komuniti,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, majlis pelancaran operasi berkenaan bagi Zon Tengah diadakan hari ini di Putrajaya, susulan pelancaran di Zon Timur pada 11 Feb dan Zon Utara pada 12 Feb lepas.
Sepanjang operasi itu, anggota APM turut melakukan rondaan di kawasan ‘hotspot’ bencana serta lokasi tumpuan pengunjung seperti pusat peranginan, pusat beli-belah dan rumah ibadat.
Selain itu, APM turut mengedarkan pelekat kenderaan dan motosikal kepada orang awam sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan keselamatan jalan raya.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta mematuhi had laju yang ditetapkan.
Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, masyarakat digalakkan menghubungi talian kecemasan 999 atau menggunakan aplikasi "Save Me 999" untuk mendapatkan bantuan segera.
-- BERNAMA
