AM

BAHAN MENTAH SELURUH NEGARA CUKUP SEMPENA TAHUN BAHARU CINA, MENJELANG RAMADAN

16/02/2026 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Bekalan barangan keperluan dan bahan mentah utama seperti ayam, daging dan sayur-sayuran di seluruh negara mencukupi bagi menampung permintaan tinggi bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina esok dan menjelang Ramadan.

Tinjauan Bernama di beberapa buah negeri mendapati para peniaga giat membuat persiapan, manakala pengguna pula mula melakukan pembelian awal bagi menghadapi bulan puasa.

Bagi peniaga ayam dan daging di Pasar Chow Kit, Bambang Ali, 40, bekalan sepanjang minggu ini mencukupi, malah kuantiti ditambah bagi menyambut Ramadan, manakala pasar yang biasanya ditutup pada Isnin, beroperasi seperti biasa hari ini untuk memberikan peluang kepada orang ramai membuat persiapan.

"Walaupun pelanggan tidak terlalu ramai, masih ada yang datang membeli keperluan. Hujung minggu lepas sangat menggalakkan dengan jualan daging mencecah 600 kilogram (kg) sehari, berbanding hanya 200 kg pada hari biasa," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, peniaga ikan di pasar sama, Azmin Mohamad Dari, 33, berkongsi cabaran berbeza apabila bekalan sedikit berkurangan dan harga meningkat antara RM1 hingga RM2 berikutan kebanyakan pembekal dan pengusaha bot adalah daripada kalangan masyarakat Cina yang bercuti.

Sementara itu, pembekal sayur Anwar Mahsum, 48, berkata sayuran berdaun dan cili import dari Thailand antara yang sukar diperoleh buat masa ini dan ada peniaga yang menyimpan stok awal bagi menampung permintaan ketika cuti perayaan sebelum bekalan dijangka kembali stabil kira-kira seminggu selepas Tahun Baharu Cina.

Bagi suri rumah, Maria Yunus, 71, strategi berhemat diamalkan dengan membeli barangan keperluan seperti ikan, sayur dan ayam lebih awal atau seminggu sebelum puasa kerana harganya lebih murah berbanding membelinya pada saat-saat akhir.

Di Selangor, peniaga sayur-sayuran, Ng Mei Hong, 40, berkata kedainya dikunjungi ramai pelanggan yang mahu memastikan stok dapur mereka mencukupi menjelang Ramadan, memandangkan kebanyakan kedai akan ditutup esok dan akan kembali beroperasi pada 18 Feb.

"Hari ini, kami berniaga seperti biasa. Esok, kedai tutup sehari bagi sambutan Tahun Baharu Cina dan rata-rata peniaga akan beroperasi semula bermula Rabu. Saya rasa tiada masalah untuk pelanggan membuat persiapan menyambut bulan puasa kerana semua barang masih ada," kata Ng.

Di Pulau Pinang, suri rumah Noor Halimah Hassan, 45, turut melakukan pembelian awal kerana dapat membantunya mengurus perbelanjaan keluarga dengan lebih berhemat.

"Setiap tahun sebelum tiba bulan puasa, saya akan siapkan semuanya lebih awal. Barangan basah seperti ikan, udang, sotong dan ayam saya beli lebih sedikit untuk dijadikan stok seminggu kerana lebih mudah," katanya.

Sementara itu, peniaga ayam Mohd Syafiq Abu Bakar berkata jualannya habis lebih awal sejak dua hari lepas berbanding hari biasa apabila pelanggan membuat pembelian dalam kuantiti lebih besar.

"Biasanya, stok habis sekitar tengah hari, namun sekarang seawal 10 pagi sudah habis. Saya menjual antara 400 hingga 500 ekor ayam sehari dan pelanggan yang datang membeli bukan sahaja Melayu, tetapi masyarakat Cina juga membeli lebih untuk persiapan jamuan besar dan sambutan Tahun Baharu esok," katanya.

Di Kelantan, Azmah Harun, 53, berkata dia telah membeli semua barangan keperluan asas seperti beras, telur ayam dan minyak masak sejak minggu lepas sebagai persiapan menyambut Ramadan.

"Kebetulan ketika ini tiga anak saya pulang ke kampung untuk menyambut hari pertama puasa bersama-sama keluarga, jadi bekalan makanan yang telah dibeli dapat digunakan sebagai juadah berbuka puasa nanti," katanya.

 Bagi pembekal ayam organik, Zakaria Yunus, 54, dia menyediakan lebih 1,000 ekor ayam bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan, lebih banyak berbanding kebiasaan untuk memastikan bekalan mencukupi. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan