KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) menyelesaikan lebih daripada 44,000 kes pelabur dengan mencapai kadar pelaksanaan projek sebanyak 99.9 peratus dalam tempoh dua tahun.
Dalam satu kenyataan hari ini, MIDA berkata angka berkenaan mencerminkan perubahan hala tuju dalam pendekatan pelaburan Malaysia merangkumi bukan sahaja promosi tetapi juga pelaksanaan yang berkesan.
"Daripada 4,377 projek pembuatan yang diluluskan antara 2021 hingga September 2025, 90 peratus daripadanya sudah beroperasi," katanya.
Pengerusi MIDA Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, promosi pelaburan tidak boleh berakhir dengan pengeluaran surat kelulusan, namun apa yang penting adalah apa yang berlaku selepas itu.
Beliau menambah setiap satu daripada 44,000 kes tersebut mewakili satu waktu yang singkat apabila seorang pelabur memerlukan masalah yang diselesaikan dengan cepat dan cekap.
"IMFC wujud untuk memberikan penyelesaian yang pantas, kepastian peraturan selain akses kepada sumber tepat untuk pelabur yang secara keseluruhannya mengukuhkan daya saing Malaysia dan melindungi mata pencarian.
"Selain itu ia membolehkan negara memberikan manfaat 'Ekonomi Rakyat' di lapangan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid mengaitkan keberkesanan IMFC dengan budaya tanggungjawab menyeluruh.
"Apa yang membezakan model IMFC lebih daripada struktur dan proses. Ia merupakan satu pemikiran. Pasukan IMFC beroperasi dengan rasa tanggungjawab terhadap setiap kes. Tiada pemindahan fail dari satu meja ke meja lain tanpa tanggungjawab.
"Apabila rakan agensi diperlukan, penyelarasan berlaku dengan serta-merta, bukannya selepas beberapa pusingan surat-menyurat. Tanggungjawab menyeluruh inilah yang diperhatikan oleh pelabur dan yang membezakan Malaysia," katanya.
MIDA berkata IMFC beroperasi sebagai platform yang diselaraskan merangkumi 12 kementerian dan agensi.
Jabatan Imigresen menyelesaikan 34,099 kes, Jabatan Kastam Diraja Malaysia 4,418 dan Lembaga Hasil Dalam Negeri 1,767.
"Tenaga Nasional Bhd, Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Telekom Malaysia secara kolektif menyelesaikan ratusan lagi kes," katanya.
-- BERNAMA
