KOTA KINABALU, 16 Feb (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan bergelar "Datuk" mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan urus niaga pegangan saham bernilai kira-kira RM20 juta pada 2022.
Chee Chi Vun, 52, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa memperdayakan See Hong Cheen @ See Hong Chen, 75, bahawa dia akan diberikan pegangan saham sebanyak 45 peratus dalam syarikat Deevin Development Sdn Bhd sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah antara RM1 juta hingga RM9 juta melalui beberapa keping cek.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Public Bank Berhad dan Malayan Banking Berhad dalam daerah Kota Kinabalu serta Penampang antara 24 April hingga 30 Ogos 2022 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Zaini Fishir @ Faisal membenarkan tertuduh diikat jamin RM3 juta dengan dua penjamin dan menetapkan 6 April untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh, Rohaiza Abd Rahman dan Eugenie Meredith Gilbert manakala Chee diwakili peguam Dominic Chew.
-- BERNAMA
