EKONOMI

VENTURETECH LABUR RM28 JUTA PERKUKUH KESELAMATAN SIBER, DAYA TAHAN DIGITAL MALAYSIA

19/02/2026 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Syarikat pelaburan impak disokong kerajaan, VentureTECH Sdn Bhd melabur RM28 juta dalam Delta Spike Asia Sdn Bhd dan IX Telecom Sdn Bhd bagi memperkukuh keupayaan keselamatan siber serta infrastruktur digital rentas sempadan negara.

Dalam kenyataan hari ini, VentureTECH memaklumkan pelaburan dalam Delta Spike akan menyokong pembangunan berterusan platform keselamatan siber syarikat itu, mempertingkat kapasiti operasi serta menyokong peluasan serantau, sekali gus mengukuhkan ekosistem keselamatan siber Malaysia dalam mendepani ancaman digital yang semakin kompleks.

Bagi IX Telecom pula, pelaburan itu akan memacu peluasan operasi serantau dan pengkomersialan platform syarikat berkenaan, seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ketersambungan digital serantau di samping membolehkan perusahaan mengakses sambungan rentas sempadan yang lancar dan berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH Ahmad Redzuan Sidek berkata pelaburan berkenaan mencerminkan fokus syarikat dalam membangunkan syarikat milik Malaysia yang kukuh, memenuhi keperluan sebenar industri dan berdaya skala secara mampan.

“Kedua-dua Delta Spike dan IX Telecom beroperasi dalam sektor kritikal kepada daya tahan negara, daripada memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber hingga membolehkan ketersambungan digital rentas sempadan yang lancar.

“Dengan menyokong syarikat milik bumiputera yang mempunyai laluan pengkomersialan jelas serta keupayaan penskalaan, VentureTECH memainkan peranan pemangkin dalam memperkukuh kapasiti jangka panjang Malaysia, di samping meletakkan syarikat tempatan pada kedudukan lebih kompetitif di peringkat serantau dan global,” katanya.

VentureTECH ialah anak syarikat milik penuh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) yang ditubuhkan bagi memangkin pertumbuhan industri tempatan, khususnya bumiputera, dalam sektor bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi menerusi pelaburan ekuiti.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan