AM

50 KAWAH DODOL DISEDIA SEMPENA PROGRAM MEGA KACAU DODOL RAYA DI MELAKA

20/02/2026 06:40 PM

MELAKA, 20 Feb (Bernama) -- Sebanyak 500 sukarelawan akan terlibat mengacau 50 kawah dodol pada program "Mega Kacau Dodol Raya 2026" yang bakal berlangsung di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini pada 14 Mac.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata program berkenaan akan dilaksanakan secara gotong-royong oleh pelbagai agensi di bawah portfolio pelancongan antaranya Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Perbadanan Muzium Melaka dan Menara Taming Sari, selain tujuh pertubuhan bukan kerajaan seperti persatuan beca dan hotel.

"Objektif penganjuran program kacau dodol ini bukan sahaja untuk memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri tetapi juga bagi menarik kehadiran pengunjung dan pelancong.

"Jumlah kawah bertambah kepada 50 tahun ini berbanding 30 tahun lepas ekoran sambutan menggalakkan dan pada masa sama, kita mahu memberi peluang kepada lebih ramai terlibat dalam program ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dodol yang siap dimasak akan diagihkan kepada orang ramai yang hadir pada program itu, sekali gus dapat mempromosikan makanan tradisional itu kepada pelancong luar negara dan generasi muda.

Katanya program itu merupakan antara acara yang telah dirangka dalam kalendar pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 di bawah segmen pelancongan budaya dalam mengetengahkan keunikan masyarakat berbilang kaum di negara ini dalam meraikan sesuatu perayaan.

Abdul Razak berkata pada program sama juga, majlis berbuka puasa yang merupakan acara tahunan kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan BPP turut dianjurkan dengan anggaran kehadiran lebih 2,000 pengunjung serta pelancong.

Beliau berkata pelbagai makanan dan minuman secara percuma turut disediakan kepada mereka yang menyertai majlis berbuka puasa berkenaan.

"Program ini bukan sahaja untuk meraikan umat Islam yang berpuasa tetapi juga orang bukan Islam sekali gus mengeratkan silaturahim," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan