KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat bukan sekadar formaliti, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keterbukaan, semak dan imbang serta tadbir urus berintegriti selaras kerangka Malaysia MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan memberi jaminan semua teguran dan dapatan dalam LKAN akan disiasat serta diambil tindakan pembetulan dengan hasil susulan audit setakat 31 Dis 2025 berjaya mengutip semula RM316.68 juta kepada kerajaan.
Beliau berkata jumlah itu merangkumi kutipan hasil dan bayaran balik melalui tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD), tunggakan pajakan tanah serta kutipan duti dan cukai.
“Kerajaan berpandangan pembentangan LKAN tanpa perbahasan yang tulus dan terbuka adalah tidak mencukupi kerana tadbir urus yang baik hanya dapat dicapai apabila semua pihak berbahas, memberi pandangan serta melaksanakan pengawasan secara kolektif.
“Perbahasan ini bukan tanda kelemahan, sebaliknya bukti bahawa kerajaan tidak mempunyai apa-apa yang disorok. Ketulusan memperkukuh keyakinan awam,” katanya ketika membentangkan usul berhubung LKAN 1/2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan semua menteri supaya meneliti isu ketirisan, ketidakpatuhan kepada peraturan, pelanggaran syarat serta kelemahan perancangan yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan dan memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan segera.
Beliau berkata LKAN perlu terus dibahaskan di Parlimen agar semua pihak memberi perhatian serius terhadap isu-isu dibangkitkan.
"Ini juga sebahagian usaha kerajaan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan entiti awam,” katanya.
Azalina berkata mandat Ketua Audit Negara jelas diperuntukkan di bawah Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Audit 1957 yang menghendaki audit terhadap penyata kewangan, pengurusan kewangan dan aktiviti kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.
Beliau berkata peranan Jabatan Audit Negara bukan sahaja dari segi audit kewangan, tetapi audit dari aspek pematuhan kepada peraturan dan prinsip bagi mengelak daripada kecurangan sama ada dalam bentuk rasuah, ketirisan atau kecuaian.
Sehingga kini, Azalina berkata LKAN dibahaskan sebanyak tujuh kali di Dewan Rakyat, mencerminkan komitmen Parlimen untuk bukan sekadar mendengar laporan, tetapi memahami, mempersoalkan dan menilai setiap dapatan yang dikemukakan.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 yang menyaksikan negara berada di kedudukan ke-54 daripada 182 negara, menunjukkan momentum pembaharuan positif.
"Peningkatan ini bukanlah satu kebetulan, tetapi hasil daripada langkah reformasi struktur yang dilaksanakan secara konsisten Kerajaan MADANI dalam memperkukuh akauntabiliti fiskal dan tadbir urus awam.
"Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan skor CPI ini termasuklah pengenalan Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal 2023, yang memperkukuh disiplin fiskal serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara.
“Selain itu, pindaan kepada Akta Audit 1957 yang memperluas bidang kuasa Ketua Audit Negara terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), penggubalan Akta Perolehan Kerajaan 2025 serta melaksanakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan pindaan Akta Syarikat 2016,” katanya.
Azalina berkata akauntabiliti bukanlah tanggungjawab kerajaan sahaja, sebaliknya hasil gabungan usaha pelbagai pihak termasuk peranan rakyat yang berani untuk mengangkat isu, kecekapan media dalam menyiarkan penemuan dan peranan aktif masyarakat secara keseluruhan dalam mengawasi penggunaan dana awam.
LKAN 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mengandungi dua naskhah meliputi pengauditan penyata kewangan agensi Persekutuan serta audit prestasi terhadap program kementerian, jabatan dan pengurusan syarikat kerajaan.
-- BERNAMA
