KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Penglibatan Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) dalam latihan perisikan bersama negara-negara kerjasama perisikan Five Eyes tidak menjejaskan dasar berkecuali negara, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata Malaysia sentiasa mengekalkan hubungan pertahanan yang seimbang dengan kuasa besar lain memandangkan negara ini turut memanfaatkan latihan antarabangsa untuk meningkatkan kepakaran anggota pertahanannya.
"Sebagai negara berkecuali, Malaysia sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama melalui latihan secara bilateral mahupun multilateral.
"Kolaborasi ini (dengan Five Eyes) bukan sahaja memperkasakan kepakaran anggota, malah menjadi platform penting dalam penguasaan teknologi pertahanan memandangkan sebahagian besar aset pertahanan kita berasal dari negara maju," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang ingin tahu sama ada kerjasama MDIO bersama dengan tentera dari negara-negara kerjasama perisikan Five Eyes tidak menjejaskan dasar berkecuali Malaysia, terutamanya dalam mengekalkan hubungan baik dengan kuasa besar lain seperti China.
Five Eyes ialah kerjasama perisikan melibatkan lima negara terdiri daripada Australia, New Zealand, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut, Adly berkata kerjasama berkenaan dilaksanakan secara terpilih dalam kerangka pertahanan sedia ada dan selaras dengan strategi Kertas Putih Pertahanan Negara dengan tujuan memperkukuh perkongsian kepakaran, meningkatkan keupayaan analisis perisikan, menegakkan standard profesionalisme serta memberikan pendedahan kepada amalan terbaik antarabangsa.
Beliau berkata MDIO ketika ini hanya menyertai latihan bilateral dan multilateral bersama dengan negara Five Eyes yang dianjurkan pada peringkat Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk latihan seperti Cobra Gold dan Bersama Warrior dengan Amerika Syarikat, Bersama Lima dengan United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura, serta Indo-Pacific Intelligence Chiefs Conference Table Top Exercise.
"Pendekatan ini bertujuan memperkukuh kompetensi dan juga profesionalisme anggota ATM tanpa menjejaskan kedaulatan, kerahsiaan dan kepentingan keselamatan negara," katanya.
-- BERNAMA
