IPOH, 24 Feb (Bernama) -- Nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus terpahat di persada antarabangsa apabila empat pelajar universiti itu terpilih menjadi imam sempena Program Qari in Residence di United Kingdom (UK), Australia dan Singapura sepanjang Ramadan kali ini.
Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata pemilihan pelajar terbabit bagi program yang berlangsung daripada 16 Feb hingga 21 Mac itu membuktikan keupayaan UPSI melahirkan pelajar tahfiz berkualiti yang mendapat pengiktirafan institusi Islam luar negara.
Beliau berkata pelajar terlibat ialah Adib Farhan Baharudin, palajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), yang terpilih menjadi imam di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom.
Selain itu, Ahmad Al Mustafa Mohd Azmi berkhidmat sebagai imam di Malaysian Hall Perth, Australia, manakala Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli serta Muhd Farhan Hakimi Khairul Aizam masing-masing berkhidmat di Masjid al-Ghufran, Singapura.
Sementara itu, tenaga pengajar merangkap Penasihat Persatuan Tahfiz UPSI, Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami FSK, turut diberi kepercayaan berkhidmat sebagai imam di Masjid Dar al-Iman dan Malaysian Hall Sydney, Australia.
“Ini satu pengiktirafan yang bukan sahaja membanggakan UPSI, malah memperlihatkan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global.
“Ia juga selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi duta ilmu, sahsiah dan nilai Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Md Amin berkata UPSI kini dalam proses pembinaan Institut Pendidikan Tahfiz Dan Turath Islami (-Furqan) yang akan menjadi pusat kajian berkaitan berkaitan pelbagai aspek pendidikan tahfiz di negara ini.
Katanya institut yang sedang dibina di atas tapak seluas 7.2 hektar di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjong Malim itu akan menggunakan kurikulum yang mengintegrasikan sistem “pondok” dan sistem pendidikan arus perdana.
-- BERNAMA
