JOHOR BAHRU, 24 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan rakyat di negeri ini agar berwaspada dengan kegiatan penipuan atau scammer membabitkan Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang dilaporkan sedang berleluasa.
Beliau berkata segala maklumat rasmi berkaitan BKJ hanya akan diumum melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor.
Justeru, beliau menasihati rakyat agar sentiasa membuat semakan dan tidak menekan pautan mencurigakan atau berkongsi maklumat peribadi kepada mana-mana pihak yang tidak sah.
"Saya memandang serius pendedahan pihak polis berhubung kewujudan 12 akaun TikTok yang disyaki menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan bagi meniru wajah dan suara Exco kerajaan negeri untuk memperdaya rakyat.
"Perbuatan ini adalah satu jenayah terancang yang tidak bertanggungjawab... sindiket ini bukan sahaja mencemarkan kepimpinan negeri malah cuba mengeksploitasi kepercayaan rakyat dengan menggunakan logo serta identiti kerajaan negeri bagi mencuri maklumat peribadi seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan maklumat akaun bank," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Onn Hafiz juga berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempermainkan kebajikan rakyat dan merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia yang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengesan dalang di sebalik akaun terbabit.
"Kita akan terus melindungi kebajikan serta keselamatan Bangsa Johor daripada ancaman jenayah siber... insya-Allah, tindakan tegas akan diambil dan dalang yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad mengesahkan menerima laporan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail@Md On yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Serom pada Jumaat lepas.
Beliau berkata siasatan awal mendapati akaun terbabit beroperasi di luar negara dan dipercayai digunakan bagi mencuri maklumat peribadi.
Bagaimanapun, Ab Rahman berkata tiada laporan polis dibuat oleh mangsa yang kehilangan wang akibat penipuan itu setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
-- BERNAMA
