DUNIA

KEAMANAN GLOBAL PERLU BERPAKSIKAN INSTITUSI KUKUH, KATA PESURUHJAYA TINGGI INDIA

25/02/2026 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Keamanan global perlu berpaksikan kepada institusi yang kukuh, nilai bersama dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik serta ekonomi yang semakin meningkat, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy.

Berucap pada sambutan Hari Keamanan Sedunia Rotary sempena Malam Antarabangsa Rotary 2026 di sini pada Isnin, beliau berkata keamanan memerlukan pengukuhan berterusan menerusi kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Keamanan mesti diperkukuh melalui institusi yang mantap, nilai-nilai dikongsi bersama dan kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa," katanya, sambil mencerminkan pengalaman beliau dalam diplomasi antarabangsa, termasuk perkhidmatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Reddy berkata landskap global hari ini dibentuk oleh "persaingan geopolitik, pemecahan ekonomi, gangguan teknologi dan ketidaksamaan yang berterusan", menjadikan diplomasi pencegahan serta pembangunan inklusif semakin kritikal.

Beliau turut menekankan kepentingan melibatkan golongan belia dalam usaha pembinaan keamanan.

"Generasi muda akan memainkan peranan penentu dalam membentuk kestabilan masa depan," katanya sambil menambah bahawa penyertaan inklusif adalah penting dalam mengekalkan keamanan jangka panjang.

Mengenai perubahan teknologi, Reddy memberi amaran bahawa walaupun dunia sebelum ini bergelut dengan jurang digital, kini ia mesti bersedia untuk menghadapi "jurang AI" yang mula muncul.

"Sekiranya tidak ditangani, ini boleh mewujudkan jurang perbezaan baharu," katanya sambil menekankan keperluan untuk kesiapsiagaan dan kerjasama memandangkan kemajuan teknologi terus mengatasi kerangka tadbir urus.

Sementara itu, Presiden Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik, Tan Sri Michael Yeoh pada majlis yang sama menekankan hubungan rapat antara kestabilan dan kemakmuran.

"Pertumbuhan ekonomi tidak dapat dikekalkan dalam persekitaran yang dicirikan oleh konflik dan ketidaktentuan," katanya, sambil menambah bahawa keamanan serta keharmonian adalah penting bagi memastikan keyakinan perniagaan dan pembangunan jangka panjang.

Yeoh turut menyentuh mengenai apa yang disifatkannya sebagai "tiga I" yang menjejaskan kestabilan global iaitu ketidaksamaan (inequality), sikap tidak peduli (indifference) dan orde antarabangsa (international order).

Dari sudut pandangan geopolitik, Pengerusi Penyelidikan dan Advokasi CARI ASEAN merangkap Presiden Kelab Perniagaan ASEAN, Tan Sri Dr Munir Majid berkata tingkah laku kuasa besar semakin menjejaskan ekonomi dan masyarakat di seluruh dunia.

"Negara-negara tidak seharusnya sekadar menjadi pemerhati pasif tetapi perlu menyumbang secara aktif dalam membentuk orde antarabangsa yang sedang berkembang," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur Malam Antarabangsa Rotary, Datuk Ramesh Kodammal menegaskan bahawa keamanan adalah satu keperluan bukan sahaja di peringkat global tetapi juga dalam kehidupan seharian di rumah, tempat kerja dan komuniti.

Beliau berkata dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan dan perubahan pesat, pencarian keamanan mesti didekati dari pelbagai dimensi termasuk diplomasi, ekonomi dan tadbir urus global.

Hari Keamanan Sedunia Rotary yang disambut setiap tahun pada 23 Feb, memperingati penubuhan Rotary pada 1905 dan mencerminkan komitmen berterusan organisasi itu dalam mempromosikan muhibah, persefahaman serta kerjasama merentas budaya dan komuniti.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan