JOHOR BAHRU, 25 Feb (Bernama) -- Seramai 1,531 murid daripada dua sekolah rendah diarahkan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan penutupan sementara sekolah masing-masing selepas insiden kebakaran kilang memproses getah di kawasan perindustrian di Sengkang dekat Kulai.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata sekolah terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang membabitkan 178 murid, 16 guru dan tiga Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), serta SJKC Kulai Besar melibatkan 1,353 murid, 71 guru dan lima AKP.
Beliau berkata penutupan itu dibuat berdasarkan nasihat serta penilaian keselamatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulai.
“Hasil pemantauan pihak berkaitan mendapati masih terdapat asap serta bau pembakaran di kawasan sekolah yang berpotensi menjejaskan kesihatan warga sekolah sekiranya sesi persekolahan diteruskan dalam keadaan semasa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu beliau berkata pihak sekolah diminta melaksanakan PdPR dengan merujuk Garis Panduan Pengurusan PdPR serta mematuhi sepenuhnya arahan yang ditetapkan oleh PKD dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Tarmizi Md Jaafar dilaporkan berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.37 petang semalam.
Setakat tengah hari tadi, kira-kira 70 peratus kebakaran berjaya dipadamkan menerusi bantuan 25 tong buih pemadam daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka serta tambahan 30 tong daripada JBPM Putrajaya.
-- BERNAMA
