AM

KENYATAAN SENTUH SENSITIVITI AGAMA, KAUM TIDAK BOLEH DIPANDANG RINGAN - WAN ROSDY

25/02/2026 07:07 PM

KUANTAN, 25 Feb (Bernama) -- Sebarang tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat di negara ini, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata pihaknya memandang serius isu melibatkan tindakan seorang mahasiswa di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan perbuatan menghina kemuliaan Nabi Muhammad SAW serta kesucian Al-Quran.

“Perbuatan seperti ini bukan sahaja amat mendukacitakan, malah lebih sensitif apabila ia berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Sebarang tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan, menjejaskan keharmonian serta merosakkan asas perpaduan yang telah lama dibina dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan pihak pengurusan UMPSA untuk menjalankan siasatan serta menguruskan kes berkenaan secara menyeluruh, telus dan berlandaskan undang-undang serta peraturan sedia ada.

Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda, supaya sentiasa berfikir panjang dan berhati-hati dalam setiap tindakan serta perkongsian, terutama di ruang awam dan media sosial.

“Elakkan daripada terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menggugat keharmonian, kestabilan dan perpaduan masyarakat. Marilah kita bersama-sama memelihara semangat saling menghormati, memahami perbezaan serta menjunjung nilai kesopanan dan toleransi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan