KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap tapak Street Dakwah di Bukit Bintang bukannya berkaitan isu dakwah, sebaliknya susulan aduan orang awam berhubung pemasangan kanopi di lokasi berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata pasukan penguat kuasa DBKL telah turun ke tapak untuk meninjau keadaan termasuk dakwaan berlakunya vandalisme.
Malah, katanya, pihak DBKL turut menunggu kira-kira 30 minit di lokasi selepas aduan diterima, namun tiada wakil tampil sebelum tindakan lanjut diambil.
"Bahan-bahan (yang dirampas) ini seperti kerusi, meja lipat, khemah, troli beroda juga telah diambil balik oleh Multiracial Reverted Muslims (MRM). Tidak ada bahan agama yang dirampas oleh DBKL," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin tahu tindakan penguatkuasaan DBKL terhadap tapak Street Dakwah di Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini, dengan antaranya merampas barangan dakwah seperti risalah.
Hannah berkata susulan sentimen yang dimainkan sesetengah pihak, keadaan itu telah memberikan kesan kepada pegawai DBKL yang bertugas pada hari kejadian.
"Pegawai tersebut telah diganggu di akaun Facebook sehingga beliau begitu terkesan dan terpaksa menutup akaun media sosial beliau dan situasi ini yang menyedihkan saya kerana banyak persepsi yang mereka mainkan, ini tidak wajar berlaku.
"Hal ini kerana, apabila pegawai penguat kuasa terima aduan, mereka turun ke padang, mereka kena laksanakan tanggungjawab mereka tanpa rasa takut dan sebagai penjawat awam (mereka bertugas dengan) jujur," katanya.
Sehubungan dengan itu, Hannah menasihati semua pihak supaya sentiasa bersangka baik serta mengelakkan fitnah antara satu sama lain.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sentiasa menyokong usaha dakwah, namun perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Berhubung garis panduan atau peraturan untuk aktiviti dakwah, Hannah berkata DBKL akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, terutama yang pakar dalam bidang keagamaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
"(Peranan) DBKL pula melihat lokasi kalau nak pasang kanopi, ada akta yang mereka kena ikut, iaitu Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Jadi, agensi yang berlainan melihat isu berlainan.
"Aktiviti dakwah kalau sampai atas jalan raya yang melibatkan trafik, polis pula yang akan turun … JAKIM lihat juga (aspek) waktu untuk menjalankan aktiviti dakwah tersebut dan satu lagi sama ada aktiviti dakwah itu menyentuh isu sensitiviti agama yang lain ataupun tidak," katanya.
-- BERNAMA
