KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sumbangan RM83,500 kepada masjid dan surau di sekitar kawasan itu bagi mengimarahkan rumah ibadat dengan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadan.
Isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata sumbangan daripada pejabat Parlimen Bandar Tun Razak kepada 10 masjid, 12 surau Jumaat dan 83 surau biasa itu diharap dapat meringankan beban pengurusan masjid dan surau.
“Pihak kami sentiasa komited dalam menyokong usaha murni jawatankuasa masjid dan surau dalam merancang program ilmu, solat tarawih, dan penyediaan juadah berbuka puasa.
“Saya berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk jemaah dan komuniti setempat,” katanya semasa Majlis Penyerahan sumbangan Ihya’ Ramadan peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Dewan Masjid Al-Muqarabbin, hari ini.
Dr Wan Azizah juga berharap pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan ini dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan sosial selain memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan mengeratkan ukhuwah sebagai sebuah masyarakat Malaysia MADANI.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan serta semua masjid dan surau yang menjadi nadi kepada setiap program sepanjang Ramadan yang sentiasa memberikan komitmen terbaik bagi memastikan setiap program berjalan dengan lancar.
-- BERNAMA
