AM

OKU PENGLIHATAN TERUJA DAPAT PILIH SENDIRI BAJU RAYA

26/02/2026 09:14 PM

BUKIT MERTAJAM, 26 Feb (Bernama) -- Sambutan Aidilfitri menjadi lebih bermakna buat 80 penerima Orang Kurang Upaya (OKU), termasuk kanak-kanak apabila mereka dibawa membeli-belah baju raya baharu oleh Nasmir Holding Sdn Bhd menerusi Yayasan Al Nasmir di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Kesemua penerima yang ditemani ahli keluarga masing-masing dilihat ceria dan teruja apabila diberi peluang memilih sendiri pakaian yang akan digayakan pada pagi Aidilfitri nanti.

Penerima OKU penglihatan Nur Laily Adi Mesra, 32, berkata peluang membeli-belah secara fizikal memberi pengalaman lebih bermakna berbanding kebiasaan yang hanya membuat pembelian dalam talian dengan bantuan ahli keluarga.

“Seronok kerana dapat memilih sendiri, memegang serta merasai fabrik sebelum membuat pembelian. Selalunya saya hanya memberitahu ahli keluarga tentang warna atau rekaan yang diinginkan dan mereka akan tolong belikan.

“Lebih menggembirakan, tahun ini saya berpeluang mengenakan pakaian sedondon bersama suami yang juga OKU penglihatan, sekali gus menjadikan sambutan Aidilfitri kali ini lebih istimewa,” katanya di sini hari ini. 

Nur Laily yang buta serta mengalami kecacatan fizikal sejak dilahirkan berkata pemberian itu juga dapat meringankan beban dalam membuat persiapan hari raya dan turut berterima kasih kepada kakitangan pasar raya berkenaan yang membantunya memilih pakaian.

Pasangan suami isteri yang juga OKU penglihatan Abu Hasan Mahmud, 46, dan Nur Emida Robi, 38 pula menyifatkan sumbangan itu amat bermakna kerana tidak perlu lagi bimbang memikirkan perbelanjaan membeli baju raya tahun ini, termasuk anak lelaki tunggal mereka Muhammad Arif Haikal, 13.

“Dengan sumbangan ini, sekurang-kurangnya saya dapat menjimatkan perbelanjaan dan menggunakan lebihan wang untuk persiapan lain seperti membeli kuih-muih bagi menyambut Aidilfitri,” katanya, yang berniaga barangan plastik di pasar malam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasmir Holding Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata program tahunan itu dibuat bagi menggembirakan keluarga kurang berkemampuan.

“Selain penerima, sumbangan turut diberikan kepada ahli keluarga serta guru pengiring yang hadir.

“Mereka bebas memilih baju apa yang disukai. Untuk tahun ini, kami menyasarkan untuk memberikan bantuan kepada 2,800 individu di samping mengadakan majlis berbuka puasa di 72 masjid,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan