GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata BKKA akan dikreditkan selewatnya pada 16 Mac.
“Bantuan ini tanda penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam atas sumbangan dan komitmen diberikan kepada kerajaan negeri dalam merealisasikan gagasan Visi Penang2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chow berkata sebagai tambahan, BKKA 2026 berjumlah RM300 diberikan kepada penyelia, guru serta petugas kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah dan menengah agama rakyat.
Penerima bantuan itu juga melibatkan penyelia, guru serta petugas sekolah agama bantuan kerajaan, tahfiz, pondok, tadika Islam (TADIS) dan sekolah persendirian Cina Pulau Pinang.
Beliau berkata pemberian BKKA membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM8.49 juta untuk 7,317 penerima.
-- BERNAMA
