KANGAR, 26 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM6,056,000 untuk Bantuan Fitrah tahun ini bagi meringankan beban golongan asnaf fakir dan miskin membuat persediaan Ramadan serta sambutan Aidilfitri.
MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 12,112 golongan itu bakal menerima bantuan berkenaan secara berperingkat.
Simbolik pelancaran bantuan itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Yang Dipertua MAIPs sempena Majlis Iftar Jamaie melibatkan Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa (AJK) di bawah MAIPs di Kuala Lumpur malam tadi.
Sementara itu, menerusi kenyataan berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan setiap jawatankuasa MAIPs memainkan peranan saling melengkapi dalam memperkukuh dan mempertingkatkan ekosistem tadbir urus Islam di Perlis ke tahap lebih cemerlang dan berdaya saing.
Baginda turut menekankan usaha memperkasa pengurusan zakat dan wakaf secara lebih berimpak, memperluas pembangunan pendidikan serta latihan asnaf secara mampan dan memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan yang akan memberi kesan langsung terhadap peningkatan taraf hidup golongan asnaf.
“Inisiatif-inisiatif ini diyakini mampu mempercepatkan usaha ke arah pembasmian kemiskinan sepenuhnya di Perlis dalam tempoh lebih singkat.
“Pengukuhan institusi pendidikan dan kebajikan Islam membuktikan kesungguhan MAIPs untuk terus bergerak seiring dengan tuntutan semasa tanpa mengabaikan prinsip syariah serta nilai-nilai tradisi yang menjadi teras kekuatan institusi Islam di negeri ini,” titah Raja Muda Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan Sesi Kurniaan Tauliah dan penyampaian Perutusan Lantikan AJK di bawah MAIPs bagi 2026-2027 pada majlis itu.
-- BERNAMA
