AM

GSF2.0: LIMA SUKARELAWAN MALAYSIA AKAN KE EROPAH, GALAS TUGAS KAPTEN, KRU TEKNIKAL

26/02/2026 08:36 PM

Oleh Puti Iylia Maisarah

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) – Lima sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0  bakal diterbangkan ke Eropah dalam masa terdekat bagi menggalas tanggungjawab sebagai kapten dan kru teknikal bagi persiapan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. 

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata penglibatan lima sukarelawan itu merupakan penyertaan pertama rakyat tempatan dalam aspek teknikal dan pengendalian bot bagi misi antarabangsa berkenaan. 

“Sukarelawan Malaysia telah terpilih menggalas peranan sebagai kapten, kru dan juruteknik dalam aspek persiapan bot. 

“Mereka telah melalui proses temu duga dan saringan ketat oleh pihak Global Sumud Flotilla serta Sumud Nusantara sebelum dibenarkan menyertai pasukan antarabangsa di Eropah dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama. 

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata misi GSF 2.0 yang dijadual berlayar pada 12 April ini  akan bermula dari Barcelona, Sepanyol, melibatkan lebih 100 buah bot, menjadikannya misi flotilla terbesar dalam sejarah setakat ini.

Beliau berkata, setakat ini puluhan bot telah berjaya diperoleh di beberapa pelabuhan sekitar Eropah dan kini sedang dalam fasa persiapan akhir.

“Dari aspek cabaran keselamatan, memang agak banyak kerana kita sedang merancang misi Fortila paling besar di dalam sejarah yang tidak pernah diadakan sebelumnya.

“Kita memberikan syarat kepada mereka (selain lima sukarelawan) yang nak terlibat supaya bersedia sehinggalah sekurang-kurangnya pertengahan bulan Mei, bersedia dengan segala kemungkinan sekiranya mereka akan menaiki bot bersama-sama dengan kita,” katanya. 

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata misi tersebut dijangka mengikuti laluan serupa misi terdahulu dengan persinggahan di Tunisia dan Itali, dan pelayaran ke Gaza dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu sekiranya cuaca baik dan tiada gangguan berlaku.

“Kita menjangkakan Israel akan bertindak lebih agresif kali ini. Dengan jumlah bot yang banyak, mereka mungkin sukar melakukan pintasan (interception) seperti sebelum ini, maka kita bersedia menghadapi sebarang bentuk tindakan luar jangka daripada pihak mereka,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) CGM Muhd Haikal Luqman Zulkefli berkata setakat ini hampir 20 sukarelawan terdiri daripada orang awam dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) daripada CGM, Cinta Salam Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terlibat dalam misi berkenaan.

Beliau berkata kumpulan tersebut merupakan penggerak utama yang bertanggungjawab bagi menyelaras serta memudah cara pelbagai urusan melibatkan peserta dan gerak kerja GSF 2.0.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan