KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat pada minggu keenam menyaksikan tiga rang undang-undang (RUU) diluluskan tanpa pindaan dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
RUU berkenaan ialah RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026, RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 dan RUU Perbekalan Tambahan (2025).
Selain itu, tumpuan juga terarah kepada pembentangan bacaan kali pertama RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan kedua-dua RUU itu berkata bacaan kali kedua dijadualkan berlangsung pada minggu depan.
Selain itu, Dewan Rakyat turut membahas dan meluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 yang mendedahkan 273 isu baharu melibatkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat Persekutuan dan negeri.
Azalina berkata perbahasan LKAN itu bukan sekadar formaliti, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keterbukaan, semak dan imbang serta tadbir urus berintegriti selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
“Kerajaan memberi jaminan semua teguran dan dapatan dalam LKAN akan disiasat serta diambil tindakan pembetulan dengan hasil susulan audit setakat 31 Dis 2025 berjaya mengutip semula RM316.68 juta kepada kerajaan.
“Pembentangan LKAN tanpa perbahasan yang tulus dan terbuka adalah tidak mencukupi kerana tadbir urus yang baik hanya dapat dicapai apabila semua pihak berbahas, memberi pandangan serta melaksanakan pengawasan secara kolektif. Perbahasan ini bukan tanda kelemahan, sebaliknya bukti kerajaan tidak mempunyai apa-apa yang disorok,” katanya ketika membentangkan usul itu.
Dalam pada itu, pelbagai isu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen sepanjang persidangan dan dijawab oleh Perdana Menteri serta menteri-menteri terlibat, antaranya isu kemasukan pusat data, keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif, ketegangan Iran-AS, isu ‘Street Dakwah’, insiden kematian mahasiswa dalam kampus serta reformasi permit masuk negara.
Ketika menjawab isu berhubung pusat data pada Selasa, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan mengehadkan kemasukan pusat data baharu yang tiada kaitan dengan kecerdasan buatan (AI) sejak hampir dua tahun lepas bagi mengurangkan tekanan terhadap grid tenaga dan bekalan air negara.
Mengakui terdapat lonjakan penggunaan tenaga dan air berikutan operasi pusat data, beliau bagaimanapun berkata unjuran menunjukkan Malaysia ketika ini masih mempunyai keupayaan untuk memastikan bekalan mencukupi.
Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut memberi ruang kepada dua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk membentangkan penyata jawatankuasa oleh pengerusi masing-masing.
JPKP terlibat ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen berkenaan isu kanak-kanak bantut dan Jawatankuasa Pilihan Kesihatan berkenaan Pemantapan Dasar Pemakanan dan Intervensi Nutrisi.
Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 20 hari sejak 19 Jan lepas dijadualkan berakhir pada 3 Mac ini.
-- BERNAMA
