AM

KPDN EDAR 12,000 PIN E-DOMPET DI ENAM BAZAR RAMADAN RAHMAH KELANTAN

28/02/2026 12:18 AM

KOTA BHARU, 27 Feb (Bernama) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengedarkan sebanyak 12,000 pin e-dompet di enam lokasi Bazar Ramadan Rahmah di Kelantan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata enam lokasi terbabit ialah Mydin Mall, Tunjong di sini, Pantai Irama (Bachok), Bandar Machang (Machang), Dewan Jubli Perak (Tanah Merah), Tasek Raja (Pasir Mas) dan Dewan Pusat Sivik (Gua Musang).

Beliau berkata inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas penggunaan transaksi digital serta memperkukuh daya beli rakyat secara langsung.

“Sebagai sebahagian daripada usaha pendigitalan sektor peruncitan, insentif e-dompet sebanyak RM20 ditawarkan kepada pengunjung (di Bazar Ramadan Rahmah di Kelantan) sebagai galakan transaksi tanpa tunai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Rahmah Mydin Mall, Tunjong di sini hari ini.

Fuziah berkata peniaga di Bazar Ramadan Rahmah turut menawarkan pelbagai pilihan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah sebagai menu tambahan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah mendapatkan juadah berbuka puasa mampu beli.

Peniaga yang melaksanakan Juadah Rahmah juga, katanya layak memohon Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dalam bentuk digital bagi mempercepat proses kelulusan dan memudahkan penyertaan melalui pautan rasmi https://menurahmah.kpdn.gov.my/.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan