AM

PUSAT SENI PERSEMBAHAN SARAWAK DIJANGKA SIAP JUN 2027 

27/02/2026 01:30 PM

KUCHING, 27 Feb (Bernama) -- Projek Pusat Seni Persembahan Sarawak kini mencapai tahap 29 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2027.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata projek ubah suai dan pembinaan semula bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama itu kini pada tahap memberangsangkan.

“Tinjauan mendapati pembinaan lancar dan mengikut jadual. Projek ini bernilai RM247 juta dan kita berharap boleh siap sebelum Sukan SEA 2027,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek di sini hari ini.

Beliau berkata pusat seni persembahan itu akan mempunyai kira-kira 600 tempat duduk serta dilengkapi kemudahan moden bertaraf antarabangsa bagi menyokong penganjuran acara seni, budaya dan industri kreatif di Sarawak.

Sarawak antara tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 Sept dan akan menjadi lokasi upacara pembukaan dengan 17 sukan bakal dipertandingkan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan