KOTA KINABALU, 27 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 5,860 orang daripada 2,067 keluarga pada tengah hari ini berbanding 5,532 mangsa daripada 1,943 keluarga yang direkodkan 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan tiga daerah menunjukkan peningkatan mangsa, iaitu Tenom dengan 3,544 orang daripada 1,207 keluarga, Beaufort (1,462 orang, 513 keluarga) dan Membakut (435 orang, 171 keluarga).
Kesemua mereka ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak Rabu lepas.
Di Sipitang, jumlah mangsa menurun kepada 340 orang daripada 151 keluarga berbanding 421 orang (176 keluarga) manakala Sook kekal dengan 79 mangsa (25 keluarga).
Secara keseluruhan, jumlah kawasan terjejas banjir di lima daerah kekal sebanyak 146 kampung.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
-- BERNAMA
