SUBANG JAYA, 27 Feb (Bernama) -- Sunway Group Bhd menyifatkan IJM Corporation Bhd sebagai satu peluang pelaburan yang menarik, yang mendorong mereka membuat tawaran mengambil alih syarikat itu, kata Pengasas dan Pengerusinya Tan Sri Jeffery Cheah.
Bagaimanapun, beliau berkata pada akhirnya ia bergantung kepada para pemegang saham IJM Corp sama ada untuk menerima atau menolak tawaran itu, memandangkan mereka diberikan masa untuk membuat keputusan sehingga 6 April, 2026.
“Tiada sebab yang kukuh untuk pengambilalihan secara paksa dan terdapat banyak desas-desus di luar sana... Kami melakukannya (pengambilalihan) semata-mata atas tujuan komersial dan mendapati ia merupakan instrumen yang menarik untuk dimiliki dan masanya sesuai, maka kami membuat tawaran.
“Tiada paksaan untuk pemegang saham menjual pada kami. Jika mereka menjual pada kami, ya, ia baik dan bagus, dan jika mereka tidak menjualnya, kami akan berundur,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) Sunway Healthcare Holdings Bhd.
Pada 12 Jan, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh kesemua 3.51 bilion saham dalam IJM Corporation Bhd pada harga tawaran RM3.15 sesaham.
Kumpulan itu berkata dengan mengandaikan semua pemegang saham menerima tawaran yang dicadangkan dan tiada pelarasan dibuat ke atas harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi tawaran itu dianggarkan sekitar RM11 bilion yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu dalam Sunway.
Sunway berkata tawaran yang dicadangkan itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026.
-- BERNAMA
