EKONOMI

PETRONAS CATAT UNTUNG BERSIH RM45.4 BILION BAGI TAHUN KEWANGAN 2025

27/02/2026 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Petroliam Nasional Bhd turun 18 peratus kepada RM45.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 daripada RM55.1 bilion pada tahun kewangan 2024.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Liza Mustapha berkata penurunan itu sejajar dengan perolehan lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang berkurangan.

Beliau berkata syarikat minyak itu mencatatkan perolehan lebih rendah berjumlah RM266.1 bilion berbanding RM320 bilion bagi tempoh sama berikutan harga purata direalisasikan lebih rendah, jumlah jualan berkurangan, kesan pertukaran mata wang asing serta penjualan Engen Group.

“Walaupun berdepan keadaan pasaran yang mencabar, prestasi kewangan 2025 telah disokong oleh usaha perniagaan dalam pelaksanaan aktiviti operasi dan komersial yang lebih cekap,” katanya ketika pengumuman prestasi kewangan Petronas Group di sini hari ini.

Beliau berkata pada 2025, perniagaan huluan berhasil dalam mengurangkan perbelanjaan operasi sebanyak RM3 bilion, dipacu terutama oleh penambahbaikan terhadap kaedah Petronas dalam menjalankan operasi serta usaha pengoptimuman yang berdisiplin.

“Ini menekankan tumpuan kami yang jelas terhadap pengurusan kos strategik. Perniagaan huluan juga terus memperkukuh daya tahan melalui pertumbuhan strategik dengan memperluas operasi di Malaysia menerusi tiga blok luar pesisir baharu di Sabah,” katanya

Liza berkata di peringkat antarabangsa, Petronas sedang memperkukuh kehadiran di Suriname, Guyana, Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Beliau berkata jumlah perbelanjaan modal kumpulan adalah sebanyak RM41.6 bilion pada 2025, dengan 60 peratus daripadanya diperuntukkan kepada aktiviti di Malaysia, manakala jumlah pinjaman mencecah hampir RM122 bilion tahun lepas.

“Walaupun menghadapi cabaran pasaran, kumpulan mengakhiri tahun kewangan 2025 dengan jumlah aset bernilai RM775 bilion, meningkat daripada RM767 bilion setakat 31 Dis, 2024, manakala ekuiti pemegang saham turun kepada RM448 bilion,” katanya.

Beliau berkata aliran tunai daripada aktiviti operasi berjumlah RM85.2 bilion, sejajar dengan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata cabaran geopolitik dalam industri dijangka berterusan.

“Bagi mengharungi perkembangan ini, Petronas akan menggandakan langkah untuk memperkukuh portfolio dan keteguhan kewangan kami sekali gus membuka laluan kepada institusi ini untuk terus membekalkan tenaga dan penyelesaian secara terjamin, boleh dipercayai dan bertanggungjawab kepada pelanggan kami,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas sedang meneliti semua pendekatan untuk mengukuhkan portfolio dan lembaran imbangan.

Dalam melangkah ke hadapan pada 2026, Petronas kekal memberi tumpuan kepada usaha memperluas pelaburan tenaga yang menambah nilai serta penyelesaian rendah karbon bagi memajukan agenda peralihan tenaganya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan