AM

KPKM SASAR 100 TEKONG LAUT DALAM SETIAP TAHUN

27/02/2026 09:53 PM

KUALA NERUS, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan untuk melahirkan sebanyak 100 tekong laut dalam setiap tahun bagi menangani kekurangan serius tenaga mahir itu dalam industri perikanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sasaran itu ditetapkan berikutan keperluan mendesak terhadap tekong laut dalam melibatkan tenaga kerja tempatan.

"Perkara ini penting kerana sebelum ini, hampir 100 peratus tekong laut dalam bergantung kepada tenaga kerja dari luar seperti Thailand, Myanmar dan Vietnam... kini, kita mula melahirkan tekong laut dalam melibatkan rakyat tempatan.

"Saya melihat anak-anak muda yang hadir tadi bersemangat untuk menjadi tekong laut dalam... setakat ini, seramai 33 tekong laut dalam telah mengikuti kursus dan menamatkan latihan dengan cemerlang... jadi, bagi sasaran tahunan, kita menetapkan 100 orang setahun kerana kekurangan tekong laut dalam ketika ini amat serius," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sentuhan AgroMADANI dan Iftar Bersama Nelayan Kuala Terengganu Utara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata latihan yang disediakan mengambil masa enam bulan dan menyasarkan golongan berumur bawah 40 tahun selaras dengan usaha menarik lebih ramai belia menceburi bidang itu.

Mohamad juga berkata operasi penangkapan ikan laut dalam lazimnya mengambil masa antara tiga hari hingga dua minggu namun mampu menghasilkan tangkapan ikan bersaiz besar dan bernilai tinggi.

"Antara yang ingin kita tekankan pada masa akan datang ialah tuna... Pulau Pinang akan dijadikan tempat pendaratan dan seterusnya kita akan bergerak ke peringkat hiliran... hasil tuna ini mampu menjana pendapatan tinggi kepada nelayan, pengusaha dan negara," katanya.

Ketika ditanya mengenai harga ayam menjelang musim perayaan, beliau berkata tiada laporan kenaikan secara mendadak yang diterima setakat ini.

"Jika ada tempat naik mendadak, berikan laporan pada kita... insya-Allah, kita bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan agensi berkaitan akan terus berusaha mencari jalan terbaik untuk menanganinya.

"Sekarang ini tiada laporan kenaikan mendadak, cuma ada beberapa tempat itu biasa ada turun naik yang kecil namun tiada kekurangan bekalan ayam dilaporkan setakat ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan