Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) ditutup lebih tinggi pada Jumaat, disokong oleh kenaikan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata ketegangan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dan Iran, mendorong sentimen minyak mentah lebih tinggi, juga mendorong minyak kacang soya untuk diniagakan lebih tinggi.
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 2.33 peratus kepada AS$72.40 setong.
“Kami melihat paras sokongan melebihi RM4,000 setan dan paras rintangan pada RM4,180 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata walaupun niaga hadapan minyak kacang soya CBOT mendorong niaga hadapan MSM yang lebih tinggi, keuntungan tersebut dihadkan oleh kelemahan dalam pasaran minyak makan serantau yang lain.
Beliau berkata olein sawit yang ditapis, dilunturkan dan dinyahbau (RBD) di Bursa Komoditi Dalian (DCE) dan minyak biji sawi di Bursa Komoditi Zhengzhou (ZCE) merosot semasa waktu dagangan Asia, mengehadkan momentum kenaikan.
Pada penutupan, kontrak Mac 2026 dan April 2026 meningkat RM34 masing-masing kepada RM3,989 setan dan RM4,030 setan, manakala Mei 2026 naik sedikit RM37 kepada RM4,042 satu tan.
Kontrak Jun 2026 melonjak sebanyak RM40 kepada RM4,046 setan, manakala Julai 2026 dan Ogos 2026 juga meningkat masing-masing sebanyak RM40 kepada RM4,043 satu tan dan RM4,038 setan.
Jumlah dagangan naik kepada 63,409 lot daripada 61,228 pada hari Khamis, manakala minat terbuka menokok sedikit kepada 227,706 kontrak daripada 227,240 sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan menambah sebanyak RM30 kepada RM4,050 setan.
-- BERNAMA
