AM

WARGA EMAS TERLIBAT KES LETUPAN IED NILAI MENINGGAL DUNIA DI HKL

28/02/2026 12:35 AM

SEREMBAN, 27 Feb (Bernama) -- Polis mengesahkan orang kena tuduh (OKT) dalam kes letupan membabitkan peranti letupan buatan sendiri (IED) di kawasan perumahan Desa Palma Nilai di sini meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata pihaknya menerima maklumat daripada anggota pengiring Penjara Kajang mengenai kematian warga emas Yeoh Hock Sun, 63, kira-kira 8.30 malam tadi.

“Punca kematian lelaki pada 8.18 malam itu akibat ‘refrectory shock’ atau keadaan renjatan yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan standard diberikan secara optimum,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma selepas menerima laporan orang awam mengenai objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada 7.08 pagi 22 Dis tahun lepas.

Warga emas itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan berkaitan kes IED itu selepas pendakwaan dilakukan terhadapnya di Hospital Tuanku Ja'afar di sini berikutan tertuduh sedang menerima rawatan pada Januari lepas sebelum dia dihantar ke HKL akibat kritikal.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan