AM

KERAJAAN JAMIN BEKALAN KELAPA MENCUKUPI MENJELANG AIDILFITRI

28/02/2026 08:09 PM

JERTIH, 28 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan kelapa adalah mencukupi bagi menampung keperluan menjelang Aidilfitri.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata orang ramai diminta melaporkan sekiranya berlaku kekurangan bekalan itu bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Bekalan mencukupi dan sebarang kekurangan akan ditangani segera oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya selepas melakukan lawatan di Kilang Air Batu Fasa 3 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut di sini hari ini.

Mohamad ketika mengulas isu import berkata bekalan kelapa ketika ini adalah seperti biasa, namun pihaknya akan menambah bekalan termasuk dari Sabah dan Indonesia sekiranya perlu.

“Sabah terjamin (bekalan kelapa). Kalau ada mana-mana kekurangan, sila lapor dan kami akan bertindak segera,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan bekalan kelapa tempatan turut diperoleh daripada beberapa negeri, antaranya dari Perak dan Sabah.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap penanam kelapa tempatan dapat meningkatkan hasil bagi memenuhi permintaan domestik.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan