AM

MSJN PERKUKUH PENDIDIKAN DAN NARATIF SEJARAH BERTERASKAN ILMU

01/03/2026 11:45 AM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Penubuhan Majlis Sejarawan Negara (MSjN) adalah langkah strategik kerajaan memperkukuh naratif sejarah negara secara berautoriti, inklusif dan berteraskan sumber sahih, sekali gus menangani pertikaian serta penyelewengan fakta.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM) Zaidin Mohd Noor berkata dalam era media sosial yang memudahkan maklumat sejarah disalah tafsir, MSjN berperanan sebagai badan autoritatif berwibawa untuk memberikan penjelasan rasmi terhadap isu-isu yang dipertikaikan berasaskan sumber sahih.

“Peranan ini amat penting bagi memastikan pembinaan identiti nasional berasaskan kebenaran dan disiplin ilmu, bukannya dipengaruhi sentimen, persepsi semata-mata atau mitos yang tidak berasas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dilancarkan pada 8 Sept 2025, MSjN dianggotai 14 ahli terdiri daripada 10 sejarawan, dua ahli arkeologi serta dua ahli antropologi dan sosiologi, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang sebagai Timbalan Pengerusi manakala ANM bertindak sebagai urus setia.

Beliau berkata MSjN turut komited memastikan sejarah Malaysia ditulis dan diajar secara inklusif dengan mengambil kira sumbangan semua kaum, wilayah serta pelbagai lapisan masyarakat bagi membentuk naratif yang adil, seimbang dan mencerminkan kepelbagaian pengalaman dalam perjalanan negara.

“Melalui penyampaian sejarah yang menyeluruh, rakyat dapat melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada kisah pembinaan Malaysia.

“Secara tidak langsung, usaha ini mampu menyemai rasa kebersamaan, memperkukuh semangat perpaduan dan memperteguh identiti nasional dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Zaidin berkata MSjN berperanan aktif meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap sejarah negara melalui pelbagai inisiatif termasuk forum dan penerbitan bahan ilmiah bagi mendekatkan wacana sejarah kepada orang ramai melalui pendekatan yang lebih terbuka, mudah diakses dan berteraskan fakta.

“Apabila masyarakat lebih celik sejarah, mereka bukan sahaja memahami peristiwa masa lepas, malah lebih menghargai nilai toleransi, perpaduan dan demokrasi yang menjadi asas kepada pembinaan identiti nasional. Kesedaran ini seterusnya menyumbang kepada masyarakat yang lebih matang, berinformasi dan bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata kerjasama erat bersama rakan strategik, MSjN turut berperanan memelihara dokumen, artifak, objek dan pelbagai sumber sejarah bernilai yang menjadi rujukan penting dalam membentuk memori kolektif rakyat Malaysia, sekali gus mewariskan pemahaman sejarah yang kaya dan bermakna kepada generasi akan datang.

Zaidin berkata satu daripada enam terma rujukan utama MSjN adalah peranannya sebagai badan yang berautoriti bagi menasihati kerajaan dalam sebarang pertikaian berkaitan sejarah negara berdasarkan penyelidikan dan sumber yang sahih.

“Ia juga merangkumi panduan dasar dan tindakan kerajaan, menjadi pertimbangan utama dalam menentukan, mengawal atau menguatkuasakan dasar berkaitan sejarah negara,” katanya.

Dalam aspek pendidikan, beliau berkata MSjN bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam menyumbang pandangan berkaitan kandungan kurikulum Sejarah.

“Ini bagi memastikan ketepatan fakta agar tidak diputarbelitkan serta menekankan elemen kenegaraan, Perlembagaan dan proses pembentukan Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata sokongan MSjN terhadap Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 yang memperkasa kepentingan subjek Sejarah sebagai teras pembinaan negara bangsa turut mencerminkan komitmen majlis itu dalam membentuk identiti nasional.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan