EKONOMI

TRADING CASTLE PLT RAIH DUA PENGIKTIRAFAN ASEAN DAN ASIA RECORDS

01/03/2026 01:02 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Akademi pendidikan kewangan digital, Trading Castle PLT, menerima dua pengiktirafan daripada ASEAN Records dan Asia Records bagi pencapaian “Highest Verified Single-Year Total Student Trading Research Performance Recorded by a Single Academy“.

Pengiktirafan itu diberikan selepas akademi mencatatkan pelaksanaan penyelidikan pasaran pelajar melebihi US$50 juta (US$1 = RM3.89) dalam tempoh setahun.

Ketua Pegawai Kewangan Trading Castle PLT Bryan Hiu, berkata pengiktirafan berganda tersebut membawa mesej penting kepada landskap pendidikan kewangan negara dan menekankan kepentingan pendekatan berasaskan penyelidikan.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar angka; ia membuktikan bahawa pendidikan kewangan yang dilaksanakan secara berstruktur dan berpandukan penyelidikan mampu meningkatkan kefahaman serta pendekatan peserta terhadap pasaran.

“Tumpuan perlu diberikan kepada pendidikan, struktur dan literasi kewangan,” katanya kepada Bernama pada majlis penyampaian pengiktirafan bersempena Majlis Makan Malam Gala Tahun Baharu Cina 2026 akademi itu baru-baru ini.

Mengulas faktor kejayaan tersebut, Hiu berkata pencapaian itu adalah hasil sistem pembelajaran komprehensif yang dibangunkan secara konsisten sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata pengiktirafan berkenaan menekankan kepentingan pembelajaran berasaskan penyelidikan serta sistem bimbingan satu dengan satu yang berstruktur, merangkumi pemantauan, pembetulan dan akauntabiliti pelajar.

Selain itu, penggunaan alat data berasaskan kecerdasan buatan (AI), termasuk sistem Quantum AI, membantu pelajar menganalisis pasaran secara tersusun sambil mengekalkan disiplin pengurusan risiko yang ketat.

“Gabungan elemen-elemen ini secara berterusan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang konsisten dan boleh diulang, sekali gus menyumbang kepada pencapaian ini,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Hiu berkata keutamaan akademi bagi 2026 di bawah rangka kerja International Financial Consultant Certified Institute (IFCCI) termasuk memperluas program latihan serta memperkukuh sistem bimbingan dan pensijilan.

Beliau berkata akademi itu juga merancang untuk menaik taraf sistem pendidikan berasaskan AI serta membina kerjasama serantau bagi memperkukuh lagi ekosistem latihannya.

“Matlamat kami adalah untuk melahirkan peserta pasaran yang berdisiplin, celik kewangan dan bertanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan