KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 menjadi platform penting dalam melahirkan pemimpin muda yang berjiwa besar dan kental, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata pelaksanaan semula PLKN bukan sekadar program latihan fizikal dan disiplin, sebaliknya dirangka sebagai wadah untuk membentuk kepimpinan generasi baharu yang mampu mewarisi kepimpinan negara dengan penuh tanggungjawab.
“Negara rantau ini melihat kita sebagai negara yang hebat, negara yang dihormati. Untuk itu kita mesti mempunyai platform untuk melahirkan pemimpin yang hebat dan kental. Inilah program yang kita adakan, program PLKN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 1/2026 PLKN 3.0 membabitkan 277 pelatih di Kem 515 Askar Wataniah di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Ya'cob Samiran.
Johari berkata melalui PLKN 3.0, pelatih yang datang daripada pelbagai latar belakang dan kaum didedahkan kepada semangat perpaduan dan integrasi nasional serta pengalaman hidup bersama sepanjang 45 hari latihan yang memberi ruang kepada mereka untuk saling mengenali dan membina persefahaman, sekali gus memupuk semangat kebersamaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pemimpin masa depan perlu memiliki impian besar serta keberanian untuk melakukan perubahan namun perlu didukung dengan ilmu pengetahuan.
“Kena ada impian, anda semua kena ada impian yang besar. Negara ini akan diwarisi oleh anda semua. Pemimpin hari ini akan pergi satu hari nanti dan negara ini mesti ditinggalkan kepada pemimpin seperti anda,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas kepercayaan yang diberikan kepada PLKN untuk melatih anak mereka serta kepada jurulatih dan media atas sokongan yang diberikan terhadap program berkenaan.
-- BERNAMA
