AM

DARI DAPUR TRADISI KE CAWAN KOPI, AKOKPRESSO JADI FENOMENA

03/03/2026 12:19 PM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

KOTA BHARU, 3 Mac (Bernama) -- Haruman kopi yang menusuk hidung sebaik melangkah masuk ke premis KB Brewster di Jalan Abdul Kadir Adabi di sini kini hadir bersama aroma kuih tradisional akok, hasil gabungan unik dinamakan Akokpresso yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.

Pemilik KB Brewster Ruzzahairieirkwan Mohammed, 40, berkata idea menggabungkan akok dengan espreso itu tercetus tujuh tahun lepas untuk mencari kelainan dan mempelbagaikan menu berasaskan kopi, khususnya menjelang Ramadan.

“Bila masuk Ramadan, kami terfikir untuk hasilkan sesuatu yang ada kaitan dengan kopi. Kebanyakan pelanggan tetap kami ialah peminat kopi. Jadi, saya cuba gabungkan espreso dengan adunan akok biasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ruzzahairieirkwan berkata percubaan awal itu tidak mengambil masa lama untuk diterima apabila kombinasi rasa manis dan lemak akok yang seimbang dengan aroma kopi sederhana berjaya menambat selera pelanggan.

Beliau berkata akok espreso berkenaan dihasil menggunakan adunan akok tradisional yang dicampur espreso mengikut sukatan sendiri selepas melalui beberapa percubaan dan penambahbaikan.

“Sukatan yang kami gunakan ialah satu liter adunan bersama 50 mililiter espreso bagi memastikan rasa kopi tidak terlalu kuat dan masih mengekalkan identiti asal akok,” katanya.

Selain perisa espreso, beliau turut menawarkan akok nisey menggunakan gula melaka bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang mahukan pilihan lebih tradisional.

Akokpresso dijual pada harga RM1 sebiji dan menjadi antara pilihan popular pelanggan tetap. Ketika ini, pengeluaran mencecah kira-kira 200 biji sehari dengan penggunaan dua papan telur.

“Pelanggan boleh datang terus ke kedai atau membuat tempahan awal sekiranya bimbang kehabisan,” katanya yang dibantu dua pekerja.

Bagi memastikan kualiti minuman dan kuih kekal konsisten, Ruzzahairieirkwan menggunakan biji kopi dari Brazil, Indonesia dan Colombia yang dipilih untuk menghasilkan keseimbangan aroma serta rasa dalam setiap hidangan.

Beliau berkata pemilihan biji kopi amat penting kerana setiap jenis mempunyai profil rasa berbeza sama ada lebih pahit atau beraroma kuat.

“Pemilihan yang tepat perlu dibuat supaya ia serasi dengan rasa manis dan lemak akok tanpa menenggelamkan cita rasa tradisionalnya. 

“Akokpresso menampilkan keseimbangan rasa pahit dan manis dalam setiap suapan, berbeza dengan akok nisey yang lebih berlemak dan manis,” katanya.

Beliau berkata inovasi berkenaan membuktikan kuih tradisional mampu diberi nafas baharu tanpa menghilangkan keaslian rasanya, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak eksperimen menu berasaskan kopi pada masa hadapan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan