GEORGE TOWN, 3 Mac (Bernama) -- Pulau Pinang memperuntukkan RM200,000 bagi Dana Pembangunan Belia (DPB) tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa agenda pembangunan belia di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata jumlah berkenaan adalah peningkatan sebanyak RM100,000 berbanding tahun sebelumnya, selari dengan usaha merancakkan penganjuran program berimpak tinggi untuk golongan belia.
“Peningkatan ini bukan sekadar melibatkan angka, sebaliknya mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasa potensi, kepimpinan serta keupayaan belia menerusi program pembangunan yang menyeluruh.
“Dengan peruntukan yang lebih besar pada tahun ini, Pulau Pinang komited untuk memperkasa generasi muda dan memastikan mereka terus menjadi pemacu utama pembangunan negeri,” katanya pada sidang media pelancaran DPB 2026 di Komtar hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) Faizal Eddy Yusof.
Gooi berkata DPB adalah inisiatif di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri dan ini tahun ketiga pelaksanaan inisiatif itu sejak ia diperkenalkan pada 2024.
Beliau memaklumkan sebanyak RM99,800 telah diluluskan pada tahun lepas manakala RM102,000 pada 2024, dengan keseluruhan 99 program berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh dua tahun menerusi dana berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), sayap pemuda persatuan yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) kecuali parti politik serta badan yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen untuk memohon dana itu tetapi dengan syarat pertubuhan berkenaan perlu beralamat dan beroperasi di negeri itu.
Beliau berkata program yang dipohon mesti menyasarkan golongan belia berumur 15 hingga 35 tahun yang berasal dari atau bermastautin di Pulau Pinang meliputi aspek kemahiran, kebolehpasaran, kesukarelawanan, kepimpinan, berpersatuan serta program pengiktirafan atau penganugerahan.
“Program berbentuk sukan tidak dipertimbangkan di bawah dana ini kerana mempunyai saluran pembiayaan yang berasingan,” katanya.
Pertubuhan berminat boleh mengemukakan permohonan mulai hari ini hingga 12 April ini bagi program yang akan dilaksanakan sebelum 15 Nov 2026, dengan semua permohonan dikemukakan melalui portal rasmi DPB, iaitu https://pydc.com.my/portaldpb/ dan akan dinilai secara teliti serta profesional oleh Jawatankuasa Penilaian DPB.
-- BERNAMA
