JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS MINTA BANTUAN CARI ORANG HILANG DI MUAR

04/03/2026 04:34 PM

MUAR, 4 Mac (Bernama) -- Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang setelah keluar rumah di Taman Bintang, di sini sejak Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata Muhammad Fakrul Aizi Mohammad Ros, 22, didakwa keluar kira-kira 5 pagi. 

“Kehilangan lelaki itu disedari oleh ibunya yang mendapati anaknya keluar dengan membawa beg pakaian,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Raiz Mukhliz berkata lelaki itu berambut pendek hitam, mempunyai warna kulit kuning langsat dan terdapat bekas luka pada ibu jari kiri.

Beliau berkata lelaki itu memakai baju dan berseluar jeans hitam sebelum dilaporkan hilang.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat SM Mohd Samsul Tilo Muzeri menerusi talian 017-739 6520 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar 06-956 4800.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan