KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Sebanyak 417 belia autistik dan berkeperluan khas telah mendapat manfaat daripada Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini berkata inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu diperkenalkan di 12 Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
"Kita mahu golongan ini mempunyai kemahiran, dapat membina keyakinan diri, serta menjana pendapatan sendiri menerusi pendekatan pembelajaran yang bersesuaian," katanya.
Beliau berkata bukti keberkesanan program tersebut ialah pembukaan sebuah kafe di Menara KBS, Putrajaya dikendalikan sepenuhnya oleh belia autistik yang telah menerima latihan daripada ILKBS.
"Saya menjemput ahli-ahli Dewan sekiranya ke Putrajaya agar singgah ke kafe ini. Saya sendiri telah mencuba burger yang disediakan oleh anak-anak autistik ini dan ia sangat sedap. Ini membuktikan kita memberi ruang pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran mereka," katanya.
Dr Mohammed Taufiq berkata ILKBS berfungsi sebagai jaring keselamatan sosial yang inklusif, termasuk menyediakan laluan latihan bagi belia yang tidak mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata berdasarkan rekod, bagi tempoh 2024 hingga 2026, sebanyak 693 pelajar tanpa SPM telah menyambung pengajian di ILKBS bagi memastikan mereka yang mempunyai kemahiran tinggi tidak tercicir daripada sistem pendidikan, dengan kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan B40 yang memerlukan sokongan melalui program yang disediakan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan ketika penggulungan perbahasan bagi portfolionya berkata Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JaPenSWP) sedang merangka cadangan pindaan terhadap dua akta utama bagi memperkasakan perundangan jenayah syariah, khususnya membabitkan kesalahan di platform digital.
Katanya cadangan pindaan itu melibatkan Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 561] dan Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560], bertujuan menangani lompang undang-undang atau lakuna yang menyukarkan tindakan penguatkuasaan diambil.
"Usaha cadangan ini berikutan tindakan tidak dapat diambil kerana belum ada kesalahan jenayah syariah yang diterbitkan secara elektronik di media sosial diambil tindakan di mana-mana Mahkamah Syariah setakat ini.
"Peruntukan undang-undang sedia ada mempunyai lakuna yang mengakibatkan jenayah syariah semakin berleluasa di media sosial kerana pelaku mungkin beranggapan tindakan tidak boleh diambil oleh pegawai penguat kuasa agama terhadap mereka disebabkan kelompangan tersebut,” katanya.
Turut menggulung perbahasan hari ini ialah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
--- BERNAMA
