AM

BALAI SENI NEGARA TAMPIL PAMERAN "CINTA BUATAN MALAYSIA 79-89"

04/03/2026 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pameran “Koleksi Tetap: Cinta Buatan Malaysia 79-89” sedang berlangsung di Balai Seni Negara di sini, menampilkan himpunan karya terpilih yang menyingkap naratif seni dan budaya visual negara.

Balai Seni Negara dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pameran di Galeri Tun Razak hingga Disember 2028 itu menampilkan 85 karya merangkumi koleksi tetap Balai Seni Negara serta koleksi pinjaman daripada pengumpul seni.

Pameran itu menelusuri fenomena di Malaysia dari 1979 hingga 1989, yang menyaksikan perkembangan pesat seni visual, filem, muzik dan sastera, sekali gus membentuk gaya hidup serta pemikiran masyarakat selain memberi impak kepada ekonomi negara ketika itu.

Pameran berkenaan dibahagikan kepada tujuh segmen utama, iaitu bakat muda sezaman, filem, perintis dan peneraju semangat zaman, ASEAN, sukan, mural Ibrahim Hussein serta lokasi dan tempat pembangunan seni budaya.

“Menerusi pameran ini, Balai Seni Negara membawakan pengalaman unik yang menghubungkan seni dan budaya visual dalam ruang galeri, sekali gus memberikan pemahaman mendalam terhadap naratif sejarah dan evolusi seni visual Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Penganjuran pameran berkenaan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mengangkat seni dan budaya negara selaras dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Maklumat lanjut pameran boleh didapati di laman web rasmi www.artgallery.gov.my atau menerusi saluran media sosial rasmi Balai Seni Negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan