KUCHING, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak memberi jaminan bertindak dalam tempoh 24 jam terhadap sebarang laporan termasuk isu harga di bazar Ramadan.
Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata pihaknya tidak menghalang orang ramai menularkan isu termasuk harga barangan yang tinggi namun laporan rasmi amat penting bagi membolehkan siasatan segera dijalankan.
“Pengguna dinasihatkan membuat laporan rasmi terlebih dahulu bagi mengelakkan peniaga menyembunyikan bukti.
“Jika ada peniaga menaikkan harga secara tidak munasabah, kita akan mengeluarkan notis dan tindakan tegas akan diambil. Kita tidak akan berkompromi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Stutong di sini hari ini.
Beliau berkata dari 19 Feb hingga hari ini, KPDN telah melaksanakan 2,682 pemeriksaan di seluruh Sarawak.
“Dalam operasi ini, kita menggerakkan 206 pegawai penguat kuasa dan 89 pegawai pemantau harga setiap hari sepanjang Ramadan. Pegawai ditugaskan secara berkumpulan, beruniform dan secara penyamaran,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan digalakkan membuat laporan menerusi WhatsApp KPDN Sarawak 019-848 8000 bagi membolehkan tindakan segera diambil.
-- BERNAMA
