AM

KONFLIK TIMUR TENGAH: PELAJAR MALAYSIA SELAMAT, KPT TERUS PANTAU PERKEMBANGAN SEMASA

05/03/2026 09:36 PM

PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus melaksanakan pemantauan rapi terhadap keselamatan semua pelajar Malaysia yang berada di kawasan konflik di Timur Tengah.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata mereka kini dalam keadaan selamat, dan KPT menjalinkan kerjasama rapat dengan Kementerian Luar bagi memastikan aspek keselamatan pelajar di rantau itu berada di tahap terbaik.

“Kita bekerjasama dengan Kementerian Luar bagi melihat perkembangan dan kedudukan pelajar-pelajar kita dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ukhuwah Ramadan KPT Tahun 2026 di sini hari ini.

Beliau juga berkata pihaknya akan meneliti dan memantau perkembangan krisis di Timur Tengah sebelum memberikan sebarang maklum balas berkaitan proses kepulangan pelajar berkenaan untuk menyambut Aidilfitri.

Semalam, Zambry berkata KPT akan merujuk kepada Kementerian Luar sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut berhubung langkah membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di kawasan konflik.

Beliau berkata sebarang urusan berkaitan krisis luar negara akan diterajui oleh Kementerian Luar selaku pihak utama yang menyelaras hal ehwal diplomatik dan keselamatan di peringkat antarabangsa.

Mengulas Mengenai isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zambry berkata KPT menyerahkan kepada pengurusan tertinggi universiti untuk mengambil langkah penambahbaikan.

Beliau berkata pengurusan universiti perlu memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan siasatan.

“Bagi pihak KPT, kita telah menetapkan peraturan-peraturan kita untuk mereka ikuti, dan itu telahpun diambil,” katanya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata agensi antirasuah itu membuka dua kertas siasatan berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan UKM yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.

Pada 23 Feb lepas, LKAN 1/2026 mendedahkan bahawa UKM berdepan ketidakaturan serius serta pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan