EKONOMI

GUANGDONG SASAR PERTINGKAT KERJASAMA EKONOMI DENGAN ASIA TENGGARA, MALAYSIA

07/03/2026 11:34 AM

Daripada Nurhafizah Tan

BEIJING, 7 Mac (Bernama)  -- Wilayah Guangdong China sedang berusaha untuk mempertingkat kerjasama ekonomi dengan negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia menerusi integrasi perindustrian lebih erat, saluran pasaran diperluas dan peningkatan pelaburan dua hala.

Ketua Pengarah Jabatan Industri dan Teknologi Maklumat Wilayah Guangdong, Zeng Jinze berkata Asia Tenggara telah menjadi rakan dagang terbesar Guangdong dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak melebihi 1.3 trilion yuan tahun lepas, rekod tertinggi.

Beliau berkata kerjasama antara Guangdong dan Asia Tenggara telah berkembang melangkaui perdagangan tradisional untuk merangkumi kerjasama perindustrian, inovasi teknologi dan integrasi rantaian bekalan.

“Kerjasama masa depan harus berdasarkan saling melengkapi dan manfaat bersama. Guangdong mempunyai kekuatan dalam teknologi dan inovasi pembuatan, sementara Asia Tenggara pula menawarkan sumber yang banyak dan pasaran luas,” katanya pada sidang media semasa hari terbuka delegasi Guangdong di luar persidangan Two Sessions, di sini.

Zeng berkata Guangdong bersedia untuk berkongsi teknologi seperti logistik pintar, robotik perindustrian dan penyelesaian pembuatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong penaiktarafan perindustrian dalam ekonomi Asia Tenggara, produk pertanian dan bahan mentah berkualiti tinggi dari Asia Tenggara boleh memasuki pasaran China melalui Guangdong, membantu mengukuhkan integrasi perindustrian dan rantaian bekalan serantau.

Beliau berkata wilayah itu juga sedang berusaha untuk memperluas kerjasama dalam pengedaran dan akses pasaran dengan menghubungkan perusahaan Guangdong dengan platform e-dagang, pemborong, peruncit dan pengilang di Asia Tenggara.

"Guangdong turut mengalu-alukan syarikat dari Asia Tenggara termasuk Malaysia untuk melabur dan membangunkan perniagaan di wilayah itu. Kami bersedia membuka sumber inovasi dan pasaran kami kepada rakan kongsi dari rantau ini," katanya.

Beliau menekankan bahawa wilayah itu akan terus meningkatkan daya saing produknya melalui inovasi teknologi, peningkatan kualiti dan pembangunan jenama global.

Zeng berkata wilayah itu sedang beralih daripada menjadi "kilang dunia" kepada menjadi pasaran global, mencerminkan usaha wilayah itu untuk menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi dalam pembuatan dan komitmen China terhadap keterbukaan ekonomi yang lebih besar.

Wilayah itu kini mempunyai kesemua 31 kategori industri pembuatan utama dan sekitar 10 trilion yuan kluster perindustrian, membentuk ekosistem perindustrian yang komprehensif.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan